- Finally, i’d successfully upload all part of my 1st editing video log to Berembun Mountain on 1st – 3rd May 2009..hope u guys enjoyed with my video log.
Setelah beberapa bulan aku menggangtung beg, akhirnya aku kembali ke gunung dalam misi mencari diri aku. Kali ini aku telah menjelajah sebuah kawasan pergunungan dan air terjun di Terengganu. Pada 1 Mei yang lalu, seperti biasa aku, juzailee, zaki dan kumar telah menjelajah ke sebuah kawasan pergunungan di Terengganu. Tapi kali ini kami tidak bersendirian malah kami bersama dengan 7 lagi orang kenalan dari selayang.Perjalanan kami kali ini memakan masa 3 hari 2 malam memandangkan pada jumaat tersebut adalah Hari Pekerja. Jadi, kami menggunakan masa tersebut untuk bersama mendaki gunung tersebut. Gunung Berembun nama diberi yang terletak di dalam mukim Dungun, Terengganu. Pelbagai rintangan dan cabaran yang kami lalui sepanjang kami berada di sana.
Perjalanan Yang Memenatkan
Perjalanan untuk ke sana mengambil masa yang lama dimana kami mulakan perjalanan dari KL pada jam 11.30 malam hari Khamis. Tapi kami stuck dalam jammed teruk di MMR2 maklum je lah esoknyakan cuti umum. Jadi, aku mengambil kesempatan itu untuk singgah di Tesco Extra Cheras untuk membeli beberapa barang keperluan. Dalam keasyikkan memilih barangan, tidak sedar bahawa masa mencemburui kami dimana pasaraya tersebut akan tutup. Jadi kami bergegas membuat bayaran dan kelaur dari situ. Keluar sahaja dari pasaraya tersebut, kami menaruh harapan tinggi agar jammed di MMR2 sudah reda. Tapi malangnya tanggapan meleset sekali. Kami pun meredah juga kesesakan yang sedang berlaku. Tetiba!!! perut aku berbunyi. Oh ya!! baru aku teringat yang aku belum lagi makan malam. Jadi aku mencadangkan pada yang lain untuk berhenti sebentar untuk makan. Akhirnya kami berhenti di sebuah deretan kedai di kawasan Taman Melati yang bertentangan dengan MRR2. Jam menunjukkan 1.30 pagi, kami pun mulakan perjalanan untuk memasuki Lebuhraya Pantai Timur. Kami tiba di perhentian Temerloh pada jam 2.45 pagi untuk menunggu sebuah lagi group dari Selayang yang turut bersama mendaki gunung tersebut. Tunggu punya..Tunggu..Detik demi detik..jarum jam berpusing dan terus berpusing. Akhirnya mereka tiba di perhentian tersebut pada jam 3.45 pagi. Kami bersama-sama meneruskan perjalanan menyusuri Lebuhraya Pantai Timur pada jam 4.30 pagi dan kami tiba di exit Kuantan pada 6.00 pagi. Kami berhenti sebentar lebih kurang 15 minit camtuelah. Then kami sambung perjalanan dan tiba di kawasan Dungun pada jam 7.15 pagi.
Kabus Tebal Menyambut Ketibaan Kami
Setiba di kawasan Dungun kabus tebal telah menyelubungi di kawasan persekitaran tersebut sehingga kami tiba di persimpangan Kg Pasir Raja. ” 41 km lagi ke Kg Pasir Raja “, tertulis pada papan tunjuk arah. ” Mak aiiii!! jauhnya camner kalo kita naik bas awam “, kata aku kepada mmbr yang lain. Dalam menyusuri jalan masuk, kami singgah sebentar di sebuah kedai makan di tepi jalan untuk bersarapan. Kami tiba di kawasan Hutan Lipur Cemerung pada jam 9.20 pagi. Jam 10.00 pagi, kami memulakan perjalanan masuk pada mulanya kami menyusuri jalan simen dan juga jambatan gantung. Tidak lama perjalanan baru kami mula menyusuri jalan denai untuk menuju ke kawasan perkhemahan.
Air Terjun Cemerung
” Mak aiiii, tingginya!!! “, tetiba terkeluar dari mulut aku apabila melihat betapa tinggi air terjun Cemerung. Kami berhenti sebentar di situ untuk menikmati permandangan air terjun tersebut. Selepas itu, kami menyusuri dan terpaksa menyeberangi sungai sehingga tahap terpaksa menjungjung beg. Selepas menyeberangi, kami berhenti sebentar untuk menyegarkan badan dengan air sungai yang jernih sehingga membolehkan kita melihat gelagat ikan kelar berenang-renang. Kami mengambil masa yang lama sebelum memulakan laluan yang getir dan mencabar.
Laluan Yang Getir
Laluan untuk ke Kem Balak merupakan salah satu laluan yang agak mencabar dimana laluan tersebut tidaklah 100% mencanak tetapi laluan agak landai kadangkala menaik sedikit dan diselang selikan dengan cenuram yang mencanak. Selepas meredah laluan yang agak mencabar pada peringkat pertama dan dikatakan bahawa laluan itu paling mencabar barulah kami tiba di Kem Balak dimana kami akan bermalam disana sebelum memulakan perjalanan untuk ke puncak Gunung Berembun.
Kem Balak
Kawasan tersebut telah disediakan dengan kemudahan tandas dan sebuah pondok sebagai kemudahan para pendaki singgah berehat. Selain daripada itu, kemudahan air mudah diperolehi dimana terdapat sebatang sungai mengalir bersebelahan kem tersebut. Air sungai di kawasan pergunungan merupakan air yang segar dan tidak tercemar, malah airnya jernih sehingga membolehkan melihat dengan jelas gelagat ikan-ikan disitu. Setelah siap mendirikan khemah, barulah kami menyegarkan badan dengan berendam di dalam sungai. Selain daripada mandi, kami juga bersama-sama menangkap ikan bagi hidangan makan malam. Malam makin menjelang..badan pun mula terasa letih..kami melabuhkan tirai pada malam tersebut seawal 9.00 malam bagi mengembalikan semula tenaga bagi menempuh laluan seterusnya.
Selamat Pagi!!!
Dalam dibuai mimpi indah tetiba kami dikejutkan dengan hujan lebat lebih kurang jam 2.00 pagi. Tapi nasib baiklah tidak menghadapi sebarang masalah kerana kami berkhemah di bawah pokok. Jadi kuranglah masalah yang timbul. Kami bangun seawal 6.30 pagi. Semangat untuk meneruskan perjalanan semakin berkobar-kobar. Setelah siap kemas, kami memulakan perjalanan ke puncak lebih kurang jam 9.00 pagi. Laluan seterusnya memang mencabar tapi kami tidak terasa sangat akan cabaran tersebut. Ini kerana kami ramai kalau kami sahaja mungkin pancit tue akan menghantui kami dan sekaligus mematahkan semangat.
Akhirnya!!
Setelah meredah laluan getir dan kawasan permandangan indah. Akhirnya kami tiba di puncak Gunung Berembun lebih kurang 3.00 petang. Puncak Gunung Berembun berketinggian 3405 kaki bersamaan 1108 meter. Kami berehat sebentar di puncak itu sebelum kami kembali berjalan untuk menuju ke Kem Air Terjun Lansir. Dalam kami sedang berehat kami tertarik dengan satu bunyian yang dihasilkan oleh burung enggang. Bukan sahaja cara mereka berkomunikasi tetapi ketika mereka terbang juga menghasilkan bunyi kibasan yang agak kuat. Ini mungkin kerana sayapnya besar dan panjang mampu menghasilkan bunyi seperti itu. Setelah puas berehat, kami menyambung semula perjalanan tapi pada kali ini agak mencabar apabila kami terpaksa menuruni cerun untuk ke Air Terjun Langsir.
Air Terjun Lansir
Kami tiba di air terjun Lensong pada jam 4.00 petang dimana kami berehat sebentar untuk menikmati keindahan disitu sebelum kami menyambung semula perjalanan ke Air Terjun Lansir yang jaraknya hanya beberapa ratus meter dari situ. Kami tiba di Air Terjun Lansir pada jam 5.00 petang. Disitulah lokasi terkahir kami untuk bermalam. Malangnya kawasan agak terhad sehingga menyebabkan kami terpaksa mendirikan khemah dikawasan yang kecil dan betul-betul di tepi sungai. Ini bukan apa kerana terdapat satu lagi group seramai 40 orang telah menguasai kawasan yang lebih luas. Masa berlalu begitu cepat sekali tanpa disedari keadaan sudah menjadi gelap yang menandakan hari semakin malam. Disamping itu, cuaca agak tidak mengizinkan apabila hujan turun dengan begitu lebat lebih kurang jam 9.30 malam. Akibat daripada hujan begitu lebat dengan diikuti angin kencang menyebabkan khemah kami dimasukki air sehingga bertangkung. Hujan mula reda pada jam 3.00 pagi. Memandangkan keadaan didalam khemah yang agak sempit ditambah pula dengan ditangkungi air. Aku dan Juzailee mengambil keputusan untuk duduk di luar. Sepanjang kami diluar, kami dapati tidak seorang pun yang berjaga hanya kami berdua sahaja. Kami juga mengambil kesempatan itu untuk mengambil gambar dikawasan batuan air terjun waktu malam sehingga matahari naik. Sebaik sahaja matahari mula memanaskan batu-batu air terjun tersebut. Kami mengambil kesempatan untuk menjemur pakaian yang basah bagi mengelakkan beg menjadi berat semasa perjalanan turun nanti.
Perjalanan Turun
Perjalanan pulang telah membawa kami menyusuri laluan menaik dan menurun serta terdapat juga pendakian. Tetapi boleh dikatakan laluan menurun lebih banyak jika dibandingkan menaik ataupun mendaki. Laluan menurun juga merupakan satu cabaran dimana ia mengukur kekuatan lutut kami. Setiap kali kami berhenti, lutut pasti akan menggeletar. Sepanjang perjalanan turun, kami juga telah melalui puncak Gunung Chemerung tapi malangnya kawasan itu tidak dapat dikenalpasti. Ini disebabkan tidak ramai pendaki singgah di kawasan tersebut. Selain daripada itu, kami juga singgah sebentar di sebatang pokok yang dikenali Pokok Seraya Besar. Aku tidak pasti mengapa pokok itu dinamakan sebegitu. Mungkin ia adalah pokok seraya yang terbesar terdapat didalam hutan tersebut. Akhirnya kami tiba dengan selamat di kawasan hutan lipur Cemerung pada jam 6.00 petang.
Akhir Kata
Sepanjang perjalanan aku di Gunung Berembun telah membuatkan aku jatuh cinta pada tempat tersebut. Aku bukan jatuh cinta pada orang tapi tempat tersebut. Mana tidaknya apabila kita dapat melihat dengan mata sendiri betapa indahnya air terjun, landskap sungai yang teratur rapi, kawasan pokok bongsai yang tumbuh liar, kepelbagaian hidupan dan tumbuh-tumbuhan dan laluan yang mencabar membuatkan aku jatuh cinta. Insya Allah aku berharap agar dapat kembali kesana dengan harapan keadaan dan keindahan dikekalkan.
Sweet Memories @ Berembun Mountain
2nd May 2009


Facebook
Twitter