Selasa lalu, aku tiba di rumah selepas pulang dari pejabat. Seperti biasa aku masuk ke bilik lalu meletakkan beg di meja tulis lalu terus menukar pakaian kerja aku. Dalam aku menukar pakaian aku mata aku tertarik sekeping sampul surat berwarna putih diatas meja aku. Setelah menukar pakaian, aku terus mengambil sampul surat sambil duduk di kerusi komputer aku. Lantas aku membuka dan aku mendapati sekeping DVD yang berjudul ” The Love Of Siam ” berserta sekeping nota. ” Kau cuba tengok cerita ini dengan fikiran terbuka dan masukkan ke dalam blog kau nanti “, begitulah yang tercatat pada nota tersebut. Aku cuba memahami apa yang dimaksudkan didalam nota tersebut.
Tanpa membuang masa, sementara menunggu panggilan dari Wafi aku pun memainkan DVD tersebut. Aku mendapati DVD ini merupakan sebuah filem romantik dari negara jiran, Thailand. setakat ke hari ini aku telah menonton cerita tersebut sebanyak 3 kali. Ini kerana bahasa thai so aku terpaksa mengambil masa untuk memahami dengan substitle yang disediakan amat memeningkan kepala aku. Pendek kata, broken language. Kali kedua aku menonton aku baru dapat menangkap sedikit tentang jalan cerita filem tersebut. Pada pendapat konsep cerita dan jalan cerita sama seperti cerita Sepet dan Gubra. Setiap kejadian mempunyai mesej yang tersirat yang perlu diurai dengan berhati-hati. Bagi aku cerita ini mengisahkan tentang kehidupan 2 remaja yang sedang lalui perjalanan kehidupan yang penuh cabaran dan kekeliruan antara keluarga, persahabatan, dan percintaan.
Berikut adalah huraian mengenai cerita tersebut mengikut pemahaman aku.
The Love of Siam
Pengarah : Chookiat Sakveerakul
Produksi : Prachya Pinkaew & Sukanya Vongsthapat
Skrip : Chookiat Sakveerakul
Pelakon : Witwisit Hiranyawongkul ( Mew ), Mario Maurer ( Tong ), Chermarn Boonyasak ( Tang/June ),
Sinjai Plengpanich ( Sunee ), Songsit Rungnopakunsri ( Ayah Tong ), kanya Rattanapetch
( Ying ) dan Aticha Pongsilpipat ( Donut ).
The Love of Siam ( Siam merupakan Siam Square ) merupakan sebuah cerita romantik yang mengisahkan pergolakan keluarga dan kekeliruan perasaan yang dihadapi oleh dua remaja lelaki ini yang ditulis dan diarahkan oleh Chookiat Sakveerakul.
Mew dan Tong merupakan rakan jiran dan mereka merupakan kawan baik sejak kecil. Perpisahan mereka berdua bermula apabila kakak Tong, Tang hilang semasa mengikuti aktiviti merentas hutan. Akhirnya keluarga Tong mengambil keputusan untuk pindah dengan harapan dapat memulakan hidup baru. Dengan keputusan itu, Tong dan Mew telah berpisah sejak dari itu mereka tidak bertemu.
**********
Kisah Mew.
Mew merupakan seorang budak yang mempunyai perwatakan yang lembut membuatkan dia selalu dibuli di sekolah. Dia tinggal bersama nenek beliau sejak kecil lagi. Setelah pemergian Tong, dia tidak mempunyai yang hanya ada adalah nenek dia. Tapi cabaran hidup terus menguji diri dia apabila tidak lama kemudian nenek dia pula pergi buat selamanya. Sejak saat itu, hidup dia penuh dengan kesunyiaan tanpa kasih sayang. Disebabkan bakat dia mengenai muzik sejak kecil dia telah mengisi kesunyian dia dengan alat muzik. Rumah yang dikosongkan oleh Tong telah dihuni oleh sebuah keluarga dan keluarga tersebut mempunyai seorang gadis yang bernama Ying. Ying amat berminat dan mencintai Mew. Tetapi perasaan Mew pada Tong amat kuat sehingga setiap usaha yang dilakukan oleh Ying untuk menambat hati Mew tidak berjaya. Dengan hasil penjualan album mereka yang laris, syarikat rakaman mereka telah melantik seorang pengurus untuk mengurus band mereka. Pengurus tersebut bernama June. June seorang gadis yang mempunyai paras rupa sama seperti kakak Tong yang hilang dulu.
Kisah Tong
Tong mempunyai sebuah keluarga yang ceria dan bahagia pada awalnya. Bermula dengan kehilangan kakak dia membuat keluarga mereka bercelaru dengan ayahnya mula menjadi seorang kaki minum. Ayah Tong amat merapat dengan Tang, kakak Tong. Ayah Tong tidak dapat menerima hakikat tersebut. Walaupun mereka telah berpindah ke rumah baru tapi ingatan ayah Tong pada Tang amat kuat sehingga menyebabkan ayahnya menghidap penyakit akibat daripada meminum arak yang keterlaluan. Dalam pada itu, Tong juga mempunyai seorang kekasih yang cantik bernama Donut.
**********
Ketika itu, Mew merupakan seorang ahli muzik yang berbakat dan telah mengetuai sebuah band yang dikenali August. Lagu band mereka telah menjadi kegilaan remaja sehingga album mereka laris jual di pasaran secara kebetulan Tong juga meminati lagu-lagu band tersebut. Pada suatu hari, Tong cuba untuk membeli album band tersebut di salah sebuah kedai di Siam Square tetapi malang album tersebut telah habis dijual. Secara kebetulan band tersebut baru sahaja bergerak meninggalkan kedai tersebut disitulah titik pertemuan semula Tong dan Mew setelah beberapa tahun tidak bertemu. Dengan pertemuan perasaan Mew pada Tong membara semula yang selama ini memang dia nanti-nantikan saat dulu kembali.
Akibat pertemuan semula Tong dan Mew di Siam Square, mereka menjadi rapat semula seperti masa mereka kecil dulu. Perasaan Mew terhadap Tong terlalu tinggi sehingga dia berjaya menulis sebuah lirik lagu yang ditujukan khas kepada Tong. Pada satu malam, Mew telah menjemput Tong ke sesi rakaman album terbaru mereka disitulah Tong bertemu dengan June yang mempunyai paras rupa seperti kakak dia. Disebabkan sesi rakaman tersebut tamat lewat, jadi Mew telah mengajak Tong untuk bermalam dirumahnya. Sebelum mereka tidur, Mew telah meluahkan perasaan dan pengalaman yang dilalui kepada Tong sepanjang kehilangan Tong dan neneknya. Hidupnya begitu sunyi sekali. Akibat luahan perasaan itu telah membuat Tong jadi keliru dengan perasaan dia sendiri.
Di rumah, Tong melihat keadaan ayanhnya menjadi teruk. Dia telah memaklumkan kepada maknya, Sunee mengenai pertemuan dia dengan June. Akhirnya Sunee dan June pun bertemu. June bercadang untuk mengupah untuk berlakon sebagai Kakak Tong, Tang. Dengan cara ini pada pemikiran Tong dan emaknya dapat menggembirakan semula ayahnya. Akhirnya, June pun setuju.
**********
Kisah June
June telah mengikuti satu pengembaraan ke Chiang Mai. Disana dia telah sesat dan hilang ingatan akibat daripada kemalangan yang menimpa keatas dirinya. Dia telah diselamatkan oleh sebuah keluarga tempatan disana. Setelah dewasa, dia mengambil keputusan untuk ke Kota Bangkok bagi menjalani kehidupan sendiri tanpa membebankan keluarga angkatnya itu. Penghijrahan June ke Kota Bangkok telah mempertemukan semula dia dengan keluarganya yang setelah sekian lama terpisah.
**********
Keluarga Tong kembali ceria apabila ayah Tong bertemu dengan June yang disangkanya Tang. Setelah didapti bapanya kembali berubah dan ceria, mereka sekeluarga telah mengadakan sebuah parti di kediaman mereka. Mereka juga telah memperlawa August Band, Mew band untuk membuat persembahan. Disitulah, Mew telah mendendangkan lagu yang ditulis khas untuk Tong. Selepas parti tersebut, Tong telah menyedari akan maksud lagu tersebut maka terjadi satu aksi Tong mengucup bibir Mew dan secara kebetulan mak Tong terlihat aksi mereka berdua. Mak Tong terus menjadi seperti hilang punca apabila melihat aksi mereka berdua. Tapi Sunee seorang yang amat tabah dalam menghadapi cabaran dan gelora yang melanda dalam keluarga dia. Keesokkan harinya, Sunee telah bertemu dengan Mew dan meminta agar Mew tidak menganggu Tong lagi. Ketika itu, kebetulan Ying berada dihadapan rumah Mew dan terdengar apa yang Sunee katakan. Ini telah membuat Ying kecewa dan tidak dapat menerima hakikat bahawa Mew mempunyai perasaan terhadap Tong. Sejak itu, Mew cuba menjauhkan diri dari Tong sebagai tanda akur dengan kehendak Sunee, mak Tong.
Pada satu hari, ayah Tong telah dimasukkan ke hospital akibat daripada keterlaluan minum arak. Sejak itu, ayah Tong telah berubah kembali ceria. Tetapi emak Tong, Sunee tidak mempercayai bahawa June itu adalah anak perempuannya, Tang yang hilang satu ketika dulu. Sehinggalah June mengambil keputusan untuk meninggalkan Bangkok untuk memulakan kehidupan baru. Setelah pemergian June, barulah maknya, Sunee menyedari bahawa June itu adalah anak perempuannya, Tang. Sunee amat menyesali akan tindakannya sebelum ini terhadap June.
Semasa malam Krismas, Tong dan emaknya telah menghias pokok Krismas dan Tong telah memberitahu kepada emaknya membenarkan Tong untuk memilih hala tuju hidupnya sendiri. Sunee menyedari dan akur dengan keputusan Tong itu.
Semasa Tong dan Donut berjumpa di Siam Square dan secara kebetulan Mew band, August Band membuat persembahan berhampiran. Disitulah, Tong telah memberitahu pada Donut bahawa dia tidak mencintai pada Donut. Selepas itu, Tong terus bergegas meninggalkan Donut untuk pergi ke tempat Mew membuat persembahan sambil disambut oleh Ying, gadis yang menerima hakikat bahawa Mew mencintai Tong. Selepas persembahan Mew, Tong telah berjumpa dengan Mew dan memberi hidung patung yang hilang semasa Tong menghadiahkan kepada Mew. Saat itu, Tong memberitahu pada Mew, ” Aku tidak boleh menjadi kekasih kau, tapi itu tidak bermakna aku tidak mencintai kau “. Mew dengan tenang dan sebak atas luahan perasaan Tong terhadap dirinya. Sebegitu lama Mew menanti akhirnya cintanya diterima walaupun bukan sebagai teman istimewa dan sebagai tanda simbolik pada situasi tersebut digambarkan bahawa hidung patung tersebut di cantumkan untuk menandakan kesempurnaan pada patung tersebut setelah sekian lama patung itu tidak mempunyai hidung.
Selepas aku menonton cerita tersebut hati aku menjadi sebak dengan jalan cerita yang sungguh tragis. Barulah aku faham kenapa kawan aku itu meletakkan nota tersebut. Mungkin dia khuatir aku akan mengganggap cerita itu adalah cerita percintaan sesama jantina. Tapi bila aku fikirkan kembali dan aku cuba memandang dari segi persahabatan. Pada pendapat aku, ia lebih sesuai apabila aku memikirkan bahawa hubungan percintaan sesama jantina tidak akan wujud atau tidak kekal lama tetapi persahabatan adalah satu hubungan yang semulajadi dimana ia akan kekal sehingga ke akhir hayat kita. Aku juga teringat akan satu ayat yang digunakan oleh salah satu kawan aku di dalam blognya, ” Friends are born, Not Made “. Perasaan sayang dan cinta kita terhadap persahabatan mampu kekal lama berbanding daripada perasaan sayang dan cinta kita terhadap percintaan.

Facebook
Twitter